Wednesday 1 April 2009

Pengorbanan Yang Tidak Berbaloi!

Pagi ini saya turun ke Kota Kinabalu kerana kawan lama dari Lahad Datu ingin berjumpa dengan saya bagi mendapatkan pandangan atau nasihat mengenai satu urusan berkaitan dengan kerjaan. Barangkali kerana pengalaman saya berkhidmat dengan kerajaan selama lebih 20 tahun, membuat beliau ingin mendapat nasihat daripada saya - walaupun hal ini sebenarnya boleh diadukan kepada orang lain.
Kami berjumpa sambil minum teh tarik panas. Setelah meneliti dokumen tersebut yang beliau bawa, saya agak terkejut bila mana mendapati bahawa sebenarnya arwah ayah beliau ini telah mendermakan satu kawasan tanah milik keluarganya yang dianggarkan seluas 10 ekar untuk dijadikan tapak sekolah menengah pada tahun 1984, tanpa meminta apa-apa bayaran daripada kerajaan, khususnya darpada Jabatan Pendidikan. Dikatakan ayah beliau tidak meminta pampasan kerana ingin membantu kerajaan bagi mendirikan sebuah sekolah menengah di kawasan tersebut [kampung beliau] untuk kepentingan pendidikan masyarakat atau anak bangsa di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun arwah ayah beliau [setelah dinasihatkan oleh teman-teman dan keluarga] cuma meminta agar kantin di sekolah tersebut dikendalikan oleh beliau sekeluarga. Pada saya kesanggupan ayah beliau untuk menyerahkan tanah milik keluarga seluas hampir 10 ekar ini merupakan suatu tindakan yang cukup murni dan terpuji. Amat jarang kita dengar orang berkorban [ mendermakan harta milik peribadi] semahal itu untuk kepentingan umum. Tapi ayah beliau sanggup berbuat demikian, demi kepentingan pendidikan anak bangsa di tempat beliau.
Bagaimanpun menurut kawan saya, baru-baru ini keluarga diberitahu bahawa kantin yang beliau sekeluarga kendalikan/ usahakan di sekolah tersebut akan ditarik oleh pihak berkuasa dan beliau diminta untuk menyertai tender jika berminat untuk mengusahakan kantin tersebut.
Mendengar penjelasan tersebut, saya termenung panjang. Hati saya bertanya...berapakah agaknya nilai tanah ini sekarang? jika ayah/ keluarga ini menjualnya atau meminta pampasan pada kerajaan, agaknya berapakah yang kerajaan perlu bayar kepada keluarga ini?
Walaupun pada dasarnya kerajaan boleh mengambil tanah milik perbadi individu untuk tujuan kemudahan-kemuahan awam [umpamanya; membina sekolah, mesjid dan sebagainya] namun yang pasti kerajaan tidak akan mengambilnya secara percuma. Kebisaannnya sejumlah pampasan akan dibayar kepada pemilik tanah tersebut. Jikalah tanah ini sekarang seekar harganya RM:20,000. maka mereka dapat pampasan RM:200,000. Dan jika RM:200,000 seekar... bermakna keluarga ini patut dibayar 2 juta? Wah!!! lumayan.
Namun setelah keluarga ini berkorban dan tidak menuntut pampasan tanah yang diberikan/ diambil oleh kerajaan dan mereka sekadar ingin mengendalikan kantin sahaja...patutkah kantin yang dikendalikan oleh keluarga beliau ini di tarik balik..?
Maka atas permintaan beliau, saya menasihatkan agar beliau menulis surat kepada pihak berkuasa, khasnya kepada YB. Menteri berkenaan, memohon pertimbangan agar kantin yang beliau kendalikan ini janganlah ditarik balik. Saya berharap dan turut mendoakan agar permintaan kawan saya untuk kekal sebagai pengendali kantin di sekolah tersebut akan berjaya. Insyallah!

No comments:

Post a Comment