Monday, 30 March 2009

PERTEMUAN YANG MENGGANGU FIKIRAN

Fikiran saya sekali lagi terganggu. Saat saya melangkah mencari restoran untuk menghirup secangkir teh tarik panas di sekitar bangunan Wawasan Plaza, Kota Kinabalu, tiba-tiba saya terserempak dengan seorang teman lama [bergelar Datuk] yang juga salah seorang mantan Menteri Kabinet Kerajaan Negeri Sabah sewaktu dulu. Pertemuan yang berlaku secara kebetulan ini membawa kami duduk bersembang hampir 2 jam di restoran berhampiran bangunan MAA.
Bila orang politik berjumpa dengan orang penulis [seperti kami ni], banyaklah perkara yang disentuh berkaitan politik semasa. Ini termasuklah prihal keputusan pemilihan barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur pada 26-28 Mac, lalu.
Datuk ni bertanya kepada saya; " apakah pandangan saya terhadap keputusan pemilihan AMT. UMNO yang baru ini?". Secara spontan saya menjawab "bagus". Bagus kerana ia mengambarkan satu shaf atau barisan kepimpinan yang agak baik dan mantap serta boleh diharapkan untuk membawa kepada suatu perubahan positif terhadap kemajuan dan pembangunan di negara ini, khususnya di Sabah untuk masa hadapan.
Sekali lagi beliau bertanya saya " Apakah barisan [AMT] ini memungkin akan membawa kesan positif kepada suasana politik dan pembangunan ekonomi Sabah?". Saya kata " Kita tunggu dan lihat". Kerana pada saya yang penting bukan perubahan orangnya [AMT] tetapi perubahan dasar dan perancangan yang bakal dilaksanakan oleh barisan kepimpinan baru ini.
Jawapan-jawapan yang saya lontarkan ini, seolah-olah telah menarik perhatian Datuk [teman lama saya ini] untuk kami terus berbual. Tanpa disedari kami dahpun menghabiskan dua gelas teh tarik panas setiap seorang dan dua pinggan pisang goreng panas.
Apakah yang menarik untuk kami perbualkan? Ternyata perbincangan kami telah berkisar kepada bagaimana cara atau kaedah untuk melaksana program berkaitan pembangunan minda / insan dalam masyarakat kita. Ternyata kami sependapat bahawa perlu ada platform sebagai agensi pelaksana - samada di dalam atau di luar kerajaan.
Datuk kata politik Sabah perlu ada anjakan. Rakyat kita tidak boleh disogokkan hanya dengan Pembangunan fizikal semata-mata. Ini kerana mungkin tidak membawa perubahan kepada rakyat di peringkat bawahan. Contohnya; jika kita bangunankan projek kos 20 juta, mungkin yang dapat manfaatnya hanyalah segolongan tertentu. Umpamanya; pihak pemaju, kontraktor, pekerja binaan dan penjual barangan [hardware]. Rakyat belum pasti akan dapat menikmatinya. Ini kerana rakyat kita khususnya masyarakat bumiputera masih banyak berada di luar bandar dan menceburi sektor pertanian, penternakan dan menjadi nelayan.
Kalau adapun segelintir orang kita yang berada di bandar, mereka kebanyakannya adalah golongan pekerja dan berada dalam zon selasa [ confort zone] sama menjadi pegawai kerajaan atau swasta. Golongan ini [Melayu bumiputera] kebanyakannya adalah golongan pengurus dan pentadbir orgnisasi dan bukannya usahawan atau peniaga. Pendek kata mereka golongan makan gaji. Biasanya golongan makan gaji ini hanya mampu menyara diri sendiri. Pendek kata mereka bukanlah golongan sasaran yang perlu diberikan perhatian oleh barisan pemimpin kita.
Seperti yang diakui oleh YAB. Presiden UMNO yang baru [ Datu Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak] dalam ucapan pengolongan di perhimpunan tersebut, bahawa lebih 60% masyarakat [rakyat Malaysia] adalah terdiri daripada golongan muda yang usianya sekitar 40 tahun ke bawah?. Jika statastik ini tepat, bermaknya lebih daripada 16 juta rakyat kita adalah mereka yang berada di dalam golongan atau kelas yang bergelar 'belia'. Persoalannya; di manakah golongan ini berada - di bandar atau di desa? Apakah bentuk budaya dan pemikiran golongan ini?
Ternyata di manapun mereka berada [ bandar atau desa] mereka adalah masyarakat yang dilahirkan dan berada di zaman selepas merdeka. Oleh itu kebanyakan mereka ini adalah masyarakat yang terdidik dengan pemikiran dunia globalsasi dan ICT. Mungkin juga ada di kalangan golongan remaja ini tak kenalpun siapa Perdana Menteri atau Menteri-Menteri Kabinet kita. Jauh sekali [jikapun bukan semua] mengenal falsafah dan erti kemerdekaan serta nilai perjuangan menegakkan negara bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
Jika inilah permasalahannya, apakah bentuk dan pelan tindakan yang kita harapkan daripada pimpinan kita ini? Ternyata - kami sependapat bahawa pembangunan minda / insan perlu menjadi teras kepada pembangunan masyarakat kita di masa akan datang. Jika kita ingin melihat Malaysia mampu tegak sebagai negara yang berdaulat di bumi yang merdeka ini , maka golongan ini tidak boleh disogokkan hanya soal pembangunan fizikal semata-mata tetapi mereka perlu didedahkan tentang ' semangat kebangsaan, nilai agama, adat dan budaya serta juga falsafah rukun negara'. Wallahualam!

No comments:

Post a Comment