Sunday, 22 March 2009

MEMBANGUN MINDA-MEMPERKASA BANGSA

Malaysia, negeri Sabah khususnya telahpun mencapai kemerdekaan sejak 45 tahun yang lalu [16 September,1963]. Namun persoalan yang kita hadapi sekarang ialah apakah dan bagaimanakah bentuk pengisian kemerdekaan yang kita kehendaki. Adakah pengisian kemerdekaan ini hanya bersifat pembangunan fizikal untuk segelintir manusia atau segelintir pemimpin kaum tertentu atau sebaliknya? Dan apakah juga pembangunan yang ada ini sesuai dan memenuhi kehendak dan cita rasa rakyat secara keseluruhannya? Inilah cabaran kepada para pemimpin kita di Malaysia, khususnya di Sabah hari ini.
APAKAH KEMERDEKAAN SEBENAR?

Ramai beranggapan bahawa erti kemerdekaan itu adalah suatu bentuk kebebasan diri, di mana rakyat mempunyai hak mutlak menentukan bentuk kerajaan dan pemimpinnya sendiri, melalui proses demokrasi. Walaupun anggapan ini benar, namun kemerdekaan yang bersifat kebebasan diri semata-mata, tanpa mempunyai misi dan visi yang mantap dan kukuh juga pada saya tidak membawa apa-apa makna, jika pemikiran kita sebagai rakyat masih dibelenggu pemikiran sempit yang bersifat kesukuan, fanatik dan kedaerahan serta sukar untuk menerima perubahan dan idea-idea baru yang positif.

Pada saya, kemerdekaan dalam ertikata sebenar ialah kemerdekaan mental serta kemerdekaan spritual – di mana paksinya harus bertunjangkan kepada jati diri bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat dengan menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara. Minda kita perlu terbuka tanpa dipengaharui sentimen dan elemen-elemen kesukuan. Dalam pengertian mudah, kita perlu mengenepikan sentimen kesukuan dan menerima pembangunan minda dengan hati dan pemikiran terbuka. Ini penting agar kehidupan kita berkembang maju dan berubah dari konsep lama kepada yang lebih moden, tanpa mengorbankan nilai-nilai dan norma jati diri bangsa.
PEMBANGUNAN FIZIKAL

Saya bersetuju, bahawa pembangunan fizikal adalah asas kepada pembangunan sosio-ekonomi. Pembangunan sosio-ekonomi adalah pemangkin kepada pembangunan spritual dan mental. Namun pembangunan bercorak fizikal hanyalah pembangunan yang bersifat sementara dan tidak kekal. Nilainya akan menurun serta kadang kala tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa. Oleh yang demikian penekanan kepada aspek pembangunan fizikal semata-mata adalah tidak memadai dan tidak akan membawa masyarakat kita ke mana-mana. Malahan mungkin juga masyarakat kita akan menjadi masyarakat / rakyat yang terbias dan sesat dalam menentukan matlamat kehidupan serta mungkin juga lupa akan matlamat mereka dijadikan Allah sebagai manusia yang terbaik di dunia ini sesuai dengan firman Allah s.w.t "Tidak ku jadikan jin dan manusia di dunia ini melainkan menyembah kepada aku" dan " tidak ku jadikan manusia melainkan menjadi kalifah [pemimpin] di muka bumi ini". Lebih daripada itu mungkin masyarakat kita akan kehilangan nilai dan jatidirinya akibat terlalu taksub kepada pembangunan meterial yang bersifat kebendaan.
PEMBANGUNAN INSAN

Saya berkeyakinan program pembangunan insan atau minda perlu menjadi matlamat asas perjuangan para pemimpin politik kita. Kenapa? Kerana pada saya pembangunan minda amat penting, kerana ia berhubung-kait lansung dengan cara manusia berfikir dan bertindak. Ini kerana mindalah yang akan menentukan cara kita berfikir dan bertindak.

Saya tidak bermaksud untuk mengajar itik berenang. Namun saya banyak melihat perkara-perkara yang saya anggap remeh-temeh. Misalnya; ramai di kalangan pemimpin kita menjadikan program sembang-sembang kedai kopi atau membawa penyokong beratus orang untuk lawatan ke sana sini [terutama ke Kuala Lumpur] dengan berbelanja ratusan ribu ringgit semata-mata untuk ingin memikat hati para penyokong. Mungkin ada yang berkata ‘ u peduli apa, itu bukan duit u’. Itu memang benar. Tapi soalan saya juga, dari manakah duit datang? Bukan duit sebanyak itu lebih baik dibelanjakan untuk membaiki dan menyelesaikan masalah hidup rakyat. Umpamanya; membantu menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat di kampung. Misalnya: memperbaiki rumah rakyat yang rosak, bocor kerana ditimpa bencana. Atau masalah pembelajaran anak-anak, bantuan yuran kemasukan sekolah, kolej atau universiti dan sebagainya.

Pada saya, dalam situasi sekarang ini [ kemelesatan ekonomi ], pemikiran kita perlu ditumpukan kepada aspek tentang bagaimanakah kita boleh membawa perubahan yang bermanfaat kepada rakyat secara menyeluruh. Umpamanya; memberikan rakyat [penyokong] bantuan asas untuk membeli keperluan bagi mana memulakan perniagaan atau perusahaan. Membuat kuih-muih misalnya; mungkin bantuan asas tersebut boleh merubah hidup rakyat menjadi baik dan selesa. Atau juga gunakan duit sebanyak itu untuk melatih rakyat tentang bagaimana seharusnya menjadi usahawan dan penternak yang baik dengan menaja ahli-ahli tersebut menyertai kursus dan latihan pembinaan diri.
Saya yakin dengan ilmu yang ada, mungkin mereka akan lebih berjaya. Dengan itu mereka tidak perlu ditaja sebaliknya mereka akan dapat membiyai kos perjalanan diri sendiri. Dalam ertikata lain mereka boleh melancung ke seluruh negara atau tempat yang mereka inginkan dengan belanja sendiri. Perkara seumpama ini boleh dicapai dengan syarat rakyat dan pemimpin perlu mempunyai pemikiran terbuka. Bersedia menerima cadangan, teguran atau kritikan yang membina. Dalam ertikata lain kita [rakyat dan pemimpin] perlu bersedia mereformasikan minda mereka. Bukan berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai alasan yang remeh temah.

REFORMASI MINDA

Reformasi minda adalah perubahan cara berfikir kita kepada yang lebih terbuka dan positif. Pemikiran yang terbuka dan positif bermakna pemikiran yang dibuat berlandaskan kepada pemikiran rasional, bernas dan wajar. Pemikiran yang wajar dan rasional akan membolehkan kita melakukan sesuatu tindakan dan keputusan yang positif tanpa dipengaharui oleh emosi, perasaan buruk sangka, hasrat dengki, cemburu, irihati, prajudis dan sebagainya. Sikap prajudis, buruk sangka dan irihati, sebenarnya amat bebahaya adalam amalan politik kita. Sikap ini ( jika ada) hanya akan menyebabkan kita berpecahbelah dan ketinggalan. Yang rugi bukan sahaja pemimpin, tetapi juga adalah rakyat keseluruhannya.

MEMERDEKAKAN MINDA

Minda yang merdeka adalah minda yang berfikiran bebas [tanpa prajudis] dan tahu menentu serta menilai yang mana buruk dan yang mana baik. Rakyat perlu diberikan pendidikan dan kefahaman sebenar dan didedahkan kepada fakta. Dengan itu mereka dapat menilai mana yang benar dan mana yang palsu. Memahami kebenaran berdasarkan fakta bukan berdasarkan kepada cerita rekaan atau khabar angin. Mereka perlu dilatih bagaimana berfikir secara positif dan terbuka serta bebas dari dipengaruhi unsur-unsur negatif. Pemikiran yang positif, membolehkan kita dapat menyertai proses pembangunan secara progresif dan pro-aktif. Dalam konteks ini pemimpin juga rakyat perlu membuang segala tangapan yang negatif dan sikap prajudis terhadap kejujuran orang lain.

MINDA DAN POLITIK KEDAI KOPI

Satu lagi hal yang menerik perhatian saya adalah 'Politik Kedai Kopi’. Di Malaysia, politik kedai kopi ini adalah suatu yang amat sinonim kepada peminat-peminat politik tanah air kita. Sebenarnya amalan ini baik, jika ia berpaksikan kepada perbincangan positif. Misalnya; membincangkan prihal politik semasa tanah air serta bagaimana caranya membawa masyarakat atau rakyat kita untuk maju dalam pembangunan dalam bidang sosial,ekonomi dan politik secara sihat dan memberansangkan. Di samping itu pemimpin perlu memandu penyokong bagaimana seharusnya membahas dan membangkitkan pelbagai isu dalam hal-ehwal politik semasa dengan baik dan bijaksana, supaya rakyat mampu menghayati dan menilai akan perkembangan dan pergolakan politik semasa dengan minda yang terbuka dan positif.

Bagaimanapun agak menyedihkan kerana ketika dunia di luar sana berbicara prihal kemajuan ekonomi, teknologi, sains angkasa serta dunia globalisasi, minda sebilangan masyarakat kita masih lagi dibelenggu oleh amalan budaya ‘Politik kedai kopi ’ yang memperdebatan perkara yang remeh-temah. Perdebatan umpamanya; soal siapakah yang harus jadi calon. Dari suku manakah calon tersebut?.

Pada saya, perkara seumpama ini (walaupun ia menjadi hak kita untuk membangkitkannya), ia perlu dihentikan. Ia sebenarnya tidak berfaedah dan hanya membuang masa. Ini kerana tugas seorang pemimpin atau wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat (melalui amalan demokrasi dalam pemilihan parti atau pilihanraya) adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua kaum yang diwakilinya dan bukan kepada kaum / suku pemimpin itu datang.


Dalam konteks ini apa yang lebih penting ialah kemampuan seseorang pemimpin berkhidmat kepada rakyat. Bukan keturunan atau dari suku mana seseorang pemimpin itu datang. Sebagai rakyat [ pengundi atau perwakilan parti] yang berfikiran positif dan pro-aktif, perlu meletakkan nilai kepemimpin seseorang itu berdasarkan kepada faktor-faktor atau ciri-ciri berikut :-

  1. Kewibawaan diri pemimpin atau individu tersebut.
  2. Keperibadian – baik, mesra dan mudah diterima rakyat.
  3. Kebolehannya – membawa misi dan visi bagi kepentingan rakyat diwakilinya.
  4. Kemampuan- membawa isu-isu semasa dan berupaya mengatasi masalah rakyat di kawasannya.
  5. Pengalaman berorganisasi dalam kerjaya dan politiknya.
  6. Intelektualismenya- dapat mengutara pandangan, pendapat, idea dan fikiran yang bernas dan positif bagi kemajuan dan kepentingan rakyat keseluruhannya.
  7. Moral yang baik, amanah, bersih dan berintergeriti serta
  8. Hubungan sosial yang baik dan mudah diterima rakyat.

Lebih penting lagi ialah kemampuan pemimpin itu sendiri untuk membawa perubahan kepada masyarakat yang diwakilinya ke suatu tahap yang lebih maju ke hadapan. Dalam ertikata lain kita perlu mencari pemimpin yang terbaik di kalangan yang terbaik. Atau " The best among the best ". Bukannya dari kaum mana pemimpin itu datang.

KOMPOSISI POLITIK SUKUAN


Kita perlu menerima hakikat bahawa negara Malaysia ini dan negeri Sabah khususnya mempunyai penduduk dan masyarakat yang pelbilang kaum. Kewujudan masyarakat pelbilang kaum ini sebenarnya akan lebih mencantik dan mewarnai dunia politik kita tanah air kita ini. Oleh itu adalah malang jika masih ada kalangan rakyat atau segelintir pemimpin masih lagi bersikap dan berfikiran sempit dengan membawa politik perkauman sempit di negara ini.

Menerima kosep dan formula kontrak sosial yang sedia bermakna kita menerima sikap pemikiran terbuka dan menolak segala bentuk sifat prajudis dan perasaan buruk sangka di antara satu sama lain. Dengan demikian juga bermakna kita telah melimpar dan membuang segala pemikiran negetif dari sanubari kita. Dengan membuang fikiran negatif itu kita tidak akan mudah diperkotak-katik dan dipecah-belahkan oleh orang lain khususnya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab.

Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa pembangunan minda perlu menjadi keutamaan kita bagi memperkasa bangsa kita khususnya masyarakat Melayu bumiputera ini. Hanya insan yang mindanya perkasa dan terbuka akan dapat bertindak dengan sewajarnya dan penuh bijaksana tanpa prajudis. Jadilah dan marilah jadi pemimpin yang berwawasan dan berwibawa. Jadilah pemimpin yang diikuti dan disegani, bukan pemimpin yang takuti.

Wallahualam...!

No comments:

Post a Comment