SEJARAH SILAM TEMPASUK
Tempasuk adalah merupakan salah satu daripada tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah yang terletak di Parlimen P.169 Kota Belud. Tempasuk dalam kontek sejarah silam, sebenarnya adalah merujuk kepada daerah Kota Belud itu sendiri dan ia telahpun mencatatkan satu rentetan sejarah politik tanah air Sabah yang cukup panjang dan bermakna sejak seratus lima puluh tahun yang lalu.
Dilihat dalam konteks sejarah silam, Tempasuk sebenarnya telahpun mencatat satu nama yang menjadi lagenda dan cukup terkenal sejak sebelum zaman penjajahan British lagi. Di zaman pemerintahan tradisional [bumiputra tempatan] Tempasuk telah menjadi satu jajahan pemerintahan yang bertaraf ‘Negeri’.
Di zaman pemerintahan tradisional ini, Tempasuk mempunyai beberapa buah daerah jajahan. Pada lazimannya, setiap jajahan ini akan diketuai oleh seorang pembesar yang bergelar Datu atau Raja. Ketua-ketua pemerintah bagi sesuatu daerah ini kadangkala pada satu tahap atau peringkat yang lebih tinggi, ia digelar Sultan.
Di antara nama-nama bagi daerah jajahan tersebut ialah Layah-layah [Leyah-Leyah] yang dikatakan diketuai oleh Sultan Dukayain. Semantara Pandasan (Pandassan) pula diperintah oleh Datu Roumbangan dan Merabau ( Marabaow) oleh Datu Mamonddallum Saudow [Datu Samadalem Sawato]. Tamau ke Kuala Pandasan (Rampayan) oleh Raja Muda Pittailan. Di samping itu terdapat beberapa buah daerah jajahan seperti Taginambur [Ginnambur], Kuala Abai yang dikatakan diperintah oleh Datu Sakelawi serta beberapa orang syarif sebagai pembesar bagi tanah jajahan tersebut. ( Lihat: The Diary Of Mr. William Pretymen-First Resident Of Tempassuk, North Borneo, 1878-1880 )
Setelah kedatangan pedagang-pedagang British dari North Borneo Company, Tempasuk sekali lagi mencatat sejarah apabila J.William Pretyman mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pembesar-pembesar tempatan di Tempasuk bermula pada 2 Mei,1878. Siri pertemuan pembesar-pembesar tempatan dengan W.Pretymen ini telah diatur oleh Pangeran Sir Raja Muda dengan dibantu Oleh Raja Muda Pittailan dan Raja Muda Sandansilan. William Pretymen akhirnya menjadi Residen Pertama British di Tempasuk.
Pertemuan bersejarah ini adalah bertujuan untuk membincangkan hal yang berkaitan dengan permasalahan pemerintahan serta soal keselamatan dan keamanan bagi pentadbiran British yang melibatkan wilayah Pemerintahan Melayu tradisional (Borneo) di perairan Laut Cina Selatan - antara Sabah dan Sarawak. Perbincangan Ini dibuat bagi atas arahan peperintahan James Brooks [Sarawak] bagi menjaga kepentingan keselamatan pedagang-pegadang British yang melalui perairan pesisir laut China Selatan, khususnya antara kawasan Simpang Mangayau [Kudat], Layah-Layah, Kuala Tempasuk [ Kota Belud ] hinggalah ke Ambong [ Tuaran ] dan Pulau Gaya [ Kota Kinabalu ], yang dikatakan sering diganggu oleh pembesar-pembesar tempatan ketika itu.
Maka bertolak dari sinilah Tempasuk sering dirujuk dan ditonjolkan sebagai salah satu mukim pemerintahan atau jajahan bagi ketua-ketua suku kaum peribumi tempatan (bumiputra) sehingga kedatangan Charterd Company (British) pada 22 April, 1878.
PENJAJAHAN BRITISH
Kedatangan Penjajah British yang menguasai Sabah pada tahun 1881-1942, dan 1945 -1963 telah mula merubah keadaan. Tempasuk ( Kota Belud ) telah dijadikan salah satu wilayah jajahan British di Sabah. Dengan wujudnya penjajahan ini, maka kedaulatan pemerintah Melayu tradisional serta kebebasan yang dinikmati oleh rakyat tempatan (bumiputra) telah terhakis.
Kedaulatan dan kebebasan rakyat untuk menentukan politik serta masa depan mereka telah tidak wujud lagi. Segala tindak-tanduk dan keinginan rakyat ketika itu perlu terlebih dahulu mendapat restu dari penjajah British.
PENJAJAHAN JEPUN
Kedatangan penjajah Jepun di Sabah pada tahun 1942-1945, Tempasuk ( Kota Belud ) telah mencatat sejarah pahit. Di kalangan masyarakat bumiputra, zaman penjajahan Jepun merupakan zaman kegelapan dan penderitaan. Rakyat bukan sahaja diseksa tetapi juga menempuh penderitaan dan kematian. Di zaman penjajahan Jepun keadaan menjadi begitu sukar. Kedaulatan bumiputra dan kawasan pemerintahan bukan sahaja tercabar dan tidak dapat dipertahankan, tetapi juga kelangsungan hidup masyarakat tempatan ketika itu begitu terhimpit dan terseksa.
Rakyat diselubungi rasa ketakutan dan dizalimi oleh penjajah Jepun. Kehidupan seharian masyarakat tempatan begitu sukar. Kegiatan sosial dan kebebasan bercakap (berpolitik) bagi menentukan kekuasaan dan kedaulatan serta martabat bangsa begitu terhad. Malahan dalam segala gerak-geri rakyat diperhatikan dan diawasi oleh penjajah Jepun. Tindak tanduk rakyat yang memperlihatkan sikap penentangan terhadap pemerintah Jepun akan ditangkap dan hukum. Kesalahan yang berat hukumannya adalah " potong kapala ".
MENUNTUT KEMERDEKAAN
Setelah penjajah Jepun ditewaskan oleh tentera perikatan pada tahun 1945, Sabah sekali lagi diperintah oleh British. Dalam masa inilah beberapa usaha terus dijalankan oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu ke arah menuntut kemerdekaan dari penjajahan British. Melalui Parti-parti yang mereka tubuhkan seperti United National Kadazan Orgnization [UNKO] Ogos1961, yang dipimpin oleh Allahyarham Tun Mohd. Fuad Stephen ( Donald Stephens ), Parti United Sabah National Organization ( USNO ) 1961, pimpinan Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, Parti United National Pasok Momogun (Pasok Momogun) Januari, 1962, pimpinan mendiang G.S.Sundang dan beberapa pemimpin Sabah lagi, akhirnya hasrat Sabah untuk mendapatkan kemerdekaan tercapai dengan menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 16 September, 1963.
Demikianlah rentetan sejarah silam kita yang cukup pahit. Kita perlu merenung dan menghayati serta mengambil iktibar daripada peristiwa ini agar kemerdekaan yang kita nikmati lebih 45 tahun lalu tidak sia-sia.
No comments:
Post a Comment