Tuesday 28 April 2009

Belia Tercorot - Masihkah Pemimpin Kita Bertelagah?

Saya agak terperanjat setelah membaca majalah Dewan Masyarakat, terbitan DBP. keluaran April, 2009 lalu. Mengikut maklumat, kajian oleh Kesatuan Perguruan - terdapat 2.66% pelajar daripada 70 sekolah menengah dan 4.87 % daripada 143 buah sekolah rendah masih buta huruf. Ini bermakna daripada 213 sekolah di negara ini masih mempunyai sejumlah 5,654 orang pelajar buta huruf. Hal ini terjadi kerana remaja atau belia sudah tidak berminat terhadap pelajaran’.

Menurut perangkaan polis pula sehingga Mei, 2005 daripada 1048 pelajar yang ditahan, 605 terlibat dengan kegiatan jenayah. Statastik Yayasan Pencegahan Jenayah Negara pula menunjukkan bahawa daripada 4,674 tahanan pelajar, 2,377 pelajar ponteng sekolah. - [ Sumber: Dewan Masyarakat: April,2009, ms.56 ]


Ternyata, statastik ini hanya melibatkan sebanyak 213 buah sekolah. Jika kajian ini tepat dan dapat dipertahankan, bagaimana dan berapakah pula bilangannya [pelajar buta huruf] jika sekiranya ruang lingkup kajian tersebut dibuat dan diperluas meliputi seluruh sekolah di negara ini?


Saya teringat suatu ketika dahulu, bagaimana sebuah sekolah rendah di sebuah Pulau di daerah Kota Belud yang dikatakan kesemua pelajarnya yang mengambil peperiksaan UPSR. gagal?. Hati saya menjadi sayu dan bertanya . "apakah yang terjadi? Adakah guru-guru kita dah mula malas mengajar. Atau adakah sistem pembelajaran kita yang kurang sempurna. Atau beban guru terlalu banyak sehingga tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tugas mengajar?.

Namun, apa jua alasan yang diberikan, ternyata pelajar-pelajar yang terlibat ini [buta huruf ini] adalah tidak lain dan tidak bukan, mereka adalah pelajar bumiputera anak-anak warga Malaysia, yang diharapkan akan bakal menjadi pemimpin bagi menggalas harapan dan tugas negara di masa akan datang terutama selepas tahun 2020. Dengan keadaan di atas, mampukah mereka menjadi pemimpin yang baik di masa depan?. Bolehkah kita meletakkan harapan dan memberikan tugas kepada mereka yang ternyata buta huruf?.

Saya teringat kepada hadith Rasulllah s.a.w yang bermaksud ” Jika kita hendak lihat bagaimana bentuk dan corak pemerintahan negara pada 10 tahun akan datang, maka lihatlah [ apakah bentuk ] pemudanya hari ”.

Jika masalah ini tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh dan penuh keazaman, masalah ia bukan sahaja akan menggugat terhadap proses pembangunan Modal Insan Negara, tetapi juga akan menjadi masalah kronik kepada Negara khasnya kepada kerajaan di masa hadapan dan sekaligus membantutkan hasrat dan harapan kita untuk mencapai Negara Maju menjelang tahun 2020..

Jika demikian, siapakah yang harus di persalahkan? Adakah ibubapa, pemimpin masyarakat, agensi-agensi berkaitan terutamanaya Kementerian Pelajaran, sekaligus parti UMNO selaku tulang belakang pemerintahan Barisan Nasional [BN] di Negara ini?.

Saya kira inilah cabaran yang bakal mendepani YAB. Timbalan Perdana Menteri - Tan Sri Mahyuddin Yassin selaku Menteri Pelajaran yang baru.


Monday 6 April 2009

Kabinet Baru PM - Mengalas Harapan Rakyat?.

Seperti yang saya nyatakan beberapa hari lalu bahawa hari ini adalah 'satu penantian yang penuh debaran'. Debaran kerana ingin mendengar dan melihat siapakah di kalangan pemimpin kita khususnya daripada kalangan Ahli Majlis Tertinggi [AMT.] UMNO baru yang bakal menyertai dan membarisi jemaah kabinet baru PM?
Teka-teki dari di kalangan rakyat Malaysia kian memuncak. YAB. PM. bukanlah pemimpin baru dalam negera ini. Beliau mantan Menteri Besar Pahang, Mantan Ketua Pemuda Malaysia, mantan Naib Presiden UMNO dan juga adalah anak kepada Perdana Menteri Malaysia [Allahyarhman Tun Abdul Razak]. Sebagai pemimpin yang begitu matang dan cukup masak terhadap politik Malaysia, tentu sekali gambaran telah terpahat dibenak fikiran YAB. PM bagaimana seharusnya bentuk kepimpinan dan saiz kabinet baru beliau ini.
Saya percaya dan yakin beliau akan meletak satu barisan kepimpinan yang mampan dan dapat diharapkan oleh rakyat untuk memberikan impak yang berkesan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat masa kini.
Selain daripada memikirkan tentang permasalahan rakyat di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, khususnya negeri-negeri besar dan maju seperti Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan yang kini telah jatuh kepada parti-parti Pembangkang Pakatan Rakyat [PR], juga harus memikirkan masalah dan kemelut rakyat Malaysia di Sabah yang pada saya juga turut menjadi perhatian pihak pembangkang dalam pilihan raya ke 13 [PRU13] nanti.
Kepimpinan BN di negeri ini, walaupun dilihat begitu stabil dan kukuh, namun tidak bermakna tiada riak yang bakal melanda. Gelombang kebangkitan parti-parti pembangkang di Sabah, khususnya yang berasas ' Sabah Based Party' yang kini diterajui oleh Parti SAPP mula mendapat perhatian rakyat yang merasakan diri mereka tidak terbela dalam BN. khususnya dalam UMNO.
Oleh yang demikian membariskan dalam kabinet baru PM. sebahagian daripada golongan pemimpin [UMNO] dari Sabah, khususnya dari kalangan mereka yang ternyata mempunyai karisma dan mampu mengalas harapan rakyat Malaysia di Sabah ini [walaupun saya kira mereka bukan dari kalangan AMT. baru UMNO], pada saya juga perlu diambil perhatian. Ini penting kerana ia bukan sahaja mampu menunaikan tanggung jawab mereka untuk membantu membangunkan negeri ini bersama-sama barisan kabinet negeri Sabah yang ada, tetapi juga dijangka mampu mengekalkan kuasa pemerintahan BN. di negeri ini dalam PRU13 nanti.
Rakyat Malaysia di negara ini, khususnya yang ada di Sabah, kini menanti dengan penuh debaran pengumuman barisan kabinet baru YAB. PM. dengan doa dan harapan barisan kabinet ini nanti akan menjadi jambatan abadi penghubung dan penyatu buat rakyat Malaysia di Semenanjung dan Sabah. Insya Allah!

Thursday 2 April 2009

HARAPAN RAKYAT KEPADA PM. BARU

Insya Allah! esok debaran hati rakyat menanti kemunculan YAB. Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO yang baru untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.
Harapan rakyat Malaysia tergalas penuh dibahu beliau. Selepas itu, rakyat pula dijangka sekali lagi akan menanti dengan penuh debaran untuk melihat barisan kabinet yang baru yang dijangka [seperti kelazimnya] akan berlaku rombakan.
Penantian yang tampak penuh debaran ini, sekali lagi kita mencongak siapakah di antara pemimpin yang bakal turun dan siapakah pula yang bakal naik pangkat menjadi Pak Menteri, Timbalan atau Setiausaha Parlimen? Pasti ia mendebarkan. Ini kerana berkemungkinan seseorang yang bukan ahli Parlimen [barangkali orang yang diluar jangkaan kita] akan masuk jadi Pak Menteri. Siapa tahu? Seseorang yang bukan ahli Parlimen, boleh dilantik senator dan kemudian dilantik jadi Pak Menteri!.
Adakah juga gesaan dan permintaan rakyat Malaysia di Sabah yang ingin agar qouta seorang menteri kabinet pusat dari Sabah akan termakbul dan menjadi kenyataan? Sekali lagi kita menantinya dengan penuh debaran. Bagaimanapun yang jelas, sesiapa sahaja yang jadi Pak Menteri atau Timbalannya, yang pasti tugas berat menyatupadukan rakyat dan menangani kegawatan ekonomi yang melanda dunia dan Malaysia khususnya menanti mereka. Itu yang past!.

Wednesday 1 April 2009

ICT - DESA DAN KOTA-DI MANA ORANG KITA?

Pagi ini pengacara TV3 membuat komentar dengan pendengar luar berkaitan dengan ilmu ICT. Pengacara berdua, bertanya pendengar/pemanggil - sejauhmana mereka [pemanggil] memahami dan mengetahui ilmu dunia ICT?
Terdapat pemanggil yang cukup berpengalaman. Beliau menerangkan dengan begitu ghairah bagaimana beliau begitu rapat kepada ilmu, perkembangan dan kemajuan dunia ICT di negara ini. Dengan usia beliau yang dahpun meningkat 60 tahun, beliau mampu menyelesaikan segala urusan dan kerja-kerja peribadi tanpa perlu bergerak ke sana dan ke sini - untuk membuat urusan kerja harian seperti membayar bil, bayaran ke bank dan sebagainya. Beliau menggunakan segala kemudahan ICT. terutamnya internet dan blog beliau untuk membuat pesanan dan urusan dengan dunia luar termasuk juga anak-anak dan keluarga beliau. Pendek kata dengan maklumat di hujung jari beliau telah mampu berinteraksi dengan dunia luar melalui pengunaan segala kemudahan ICT di negara ini semaksimanya. Menurut pemanggil lagi, kini beliau telahpun memilik laman web sendiri dan meniklankan hasil-hasil ladangpun beliau melalui laman web yang beliau cipta.
Saya yang sedang menikamati sarapan pagi dengan secangkir teh o panas dan ubi rebus terpesona dengan kemajuan ICT yang kini telah dicapai oleh negara kita. Satu pujian patut diberikan kepada para pemimpin negara, terutama kepada Tun M, mantan Perdana Menteri kita yang pada saya begitu perihatin tentang perkembangan dunia ICT di negara ini ketika beliau menjadi Perdana Menteri, sehingga Malaysia mampu menujudkan bandar CYBERJAYA Malaysia di Putrajaya, sekaligus ujudnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Kemajuan sains dan teknologi di negara kita kini, membolehkan kita dapat menerokai dunia angkasa.
Saya bertambah ghairah. Saya mula memikirkan alangkah baik jika produk-produk pertanian, belacan, kuih tradisional dan sebagainya keluaran masyarakat desa, dapat dipamerkan dan diiklan melalui internet atau laman web para petani dan nelayan. Sebagai anak petani, saya juga mula berangan-angan untuk balik ke kampung mengusahakan tanah sekengkang kera milik keluarga. Barangkali ayam itek mampu dipelihara. Produk telur masin harganya lumayan juga.
Namun keghairahan saya itu tiba-tiba terpadam bilamana memikirkan dan menyedari bahawa di kampung, apa lagi ilmu ICT mampu di terokai oleh para pak tani dan nelayan kita di desa sana, sedang pemancar talian internet atau talipon di kampung pun susah nak jumpa. Kalau adapun, jauhnya di bandar tak mampu menyebarkan dunia mayanya ke kawasan desa. Terfikir juga, bagaiman rakyat desa nak mampu memilik laman web dan blog sendiri? Sedang di desa tiada kemudahan talipon atau internetnya. Di samping itu, terfikir juga apakan nak memiliki Laptopnya, sedang nafkah harian sendiri pun belum mencukupi?. Ekonomi tak berkembang. Pasaran produk tiada ruang. Nak jual hasil pertanian sekilo dua ke pekan, perlu tambang. Tambang kenderaan pula lebih mahal. daripada harga atau hasil jualan barang?
Demikian terasanya jurang antara desa dan kota. Ia semakin jauh terpisah. Kerana itu ramai golongan terpelajar lari dan berhijrah ke kota. Di desa tiada kemudahan dan tiada apa-apa. Kita, juga pemimpin terutamanya perlu memikirkannya, agar jurang ilmu ICT antara masyarakat desa dan kota tidak berbeza. Bina insan dan minda sekali lagi perlu jadi fokus utama. Para ibu bapa, abang dan kakak, yang tak sempat bersekolah menengah, kolej atau universiti, boleh belajar dan diajar tentang ilmu ICT melalui kursus bimbingan dan latihan ICT kendalian pejabat-pejabat Wakil Rakyat UPKR daerah dengan kerjasama agensi kerajaan dan juga swasta.
Laburlah sedikit peruntukan khas YB.Wakil-Wakil Rakyat kita yang ada itu untuk membiayai latihan tersebut demi kepentingan masyarakat di kawasan desa. Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja dapat membina dan melahirkan rakyat Malaysia yang berinformasi dan bermaklumat, tetapi juga dapat melahirkan rakyat atau masyarakat yang mengenali dan berinteraksi dengan dunia antarabangsa. Insya Allah!

Pengorbanan Yang Tidak Berbaloi!

Pagi ini saya turun ke Kota Kinabalu kerana kawan lama dari Lahad Datu ingin berjumpa dengan saya bagi mendapatkan pandangan atau nasihat mengenai satu urusan berkaitan dengan kerjaan. Barangkali kerana pengalaman saya berkhidmat dengan kerajaan selama lebih 20 tahun, membuat beliau ingin mendapat nasihat daripada saya - walaupun hal ini sebenarnya boleh diadukan kepada orang lain.
Kami berjumpa sambil minum teh tarik panas. Setelah meneliti dokumen tersebut yang beliau bawa, saya agak terkejut bila mana mendapati bahawa sebenarnya arwah ayah beliau ini telah mendermakan satu kawasan tanah milik keluarganya yang dianggarkan seluas 10 ekar untuk dijadikan tapak sekolah menengah pada tahun 1984, tanpa meminta apa-apa bayaran daripada kerajaan, khususnya darpada Jabatan Pendidikan. Dikatakan ayah beliau tidak meminta pampasan kerana ingin membantu kerajaan bagi mendirikan sebuah sekolah menengah di kawasan tersebut [kampung beliau] untuk kepentingan pendidikan masyarakat atau anak bangsa di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun arwah ayah beliau [setelah dinasihatkan oleh teman-teman dan keluarga] cuma meminta agar kantin di sekolah tersebut dikendalikan oleh beliau sekeluarga. Pada saya kesanggupan ayah beliau untuk menyerahkan tanah milik keluarga seluas hampir 10 ekar ini merupakan suatu tindakan yang cukup murni dan terpuji. Amat jarang kita dengar orang berkorban [ mendermakan harta milik peribadi] semahal itu untuk kepentingan umum. Tapi ayah beliau sanggup berbuat demikian, demi kepentingan pendidikan anak bangsa di tempat beliau.
Bagaimanpun menurut kawan saya, baru-baru ini keluarga diberitahu bahawa kantin yang beliau sekeluarga kendalikan/ usahakan di sekolah tersebut akan ditarik oleh pihak berkuasa dan beliau diminta untuk menyertai tender jika berminat untuk mengusahakan kantin tersebut.
Mendengar penjelasan tersebut, saya termenung panjang. Hati saya bertanya...berapakah agaknya nilai tanah ini sekarang? jika ayah/ keluarga ini menjualnya atau meminta pampasan pada kerajaan, agaknya berapakah yang kerajaan perlu bayar kepada keluarga ini?
Walaupun pada dasarnya kerajaan boleh mengambil tanah milik perbadi individu untuk tujuan kemudahan-kemuahan awam [umpamanya; membina sekolah, mesjid dan sebagainya] namun yang pasti kerajaan tidak akan mengambilnya secara percuma. Kebisaannnya sejumlah pampasan akan dibayar kepada pemilik tanah tersebut. Jikalah tanah ini sekarang seekar harganya RM:20,000. maka mereka dapat pampasan RM:200,000. Dan jika RM:200,000 seekar... bermakna keluarga ini patut dibayar 2 juta? Wah!!! lumayan.
Namun setelah keluarga ini berkorban dan tidak menuntut pampasan tanah yang diberikan/ diambil oleh kerajaan dan mereka sekadar ingin mengendalikan kantin sahaja...patutkah kantin yang dikendalikan oleh keluarga beliau ini di tarik balik..?
Maka atas permintaan beliau, saya menasihatkan agar beliau menulis surat kepada pihak berkuasa, khasnya kepada YB. Menteri berkenaan, memohon pertimbangan agar kantin yang beliau kendalikan ini janganlah ditarik balik. Saya berharap dan turut mendoakan agar permintaan kawan saya untuk kekal sebagai pengendali kantin di sekolah tersebut akan berjaya. Insyallah!