Wednesday 10 June 2009

Wajarkah?

Wajarkah para pemimpin kita memaksa rakyat menerima apa yang mereka mahukan? Inilah persoalan yang dilontarkan atau sedang diperkatakan oleh masyarakat bawahan sekarang ini.

Samada disedari atau tidak, samada mahu ingin menyedarinya atau tidak ialah terdapat sikap di kalangan sesetangah para pemimpin [khususnya pemimpin parti] untuk memaksa rakyat atau orang lain untuk menerima pendapat atau apa yang mereka inginkan dan bukan apa yang rakyat inginkan.

Apabila rakyat membuat respond atau cuba mengutarakan pandangan mereka, para pemimpin ini akan cuba mempertahankan apa yang mereka mahu dan bukan apa yang rakyat mahu. Inilah delima yang dihadapi oleh rakyat juga oleh sebahagian ahli ahli parti. Kesannya ialah ahli-ahli parti yang setia kepada parti, mereka mengambil sikap berdiam. Tapi bagi ahli parti yang sensitif dan tidak ingin mengikut telunjuk, mereka akan menentang. Atau lebih drastik, mereka akan keluar parti dan menentang idea tersebut dari luar dan secara berdepan.
Oleh itu, secara peribadi saya kagum dan terharu dengan sikap YAB. Tan Sri Mahyuddin Yassin - Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana secara terbuka berani meminta pandangan dan pendapat rakyat berkaitan soal-soal pembelajaran, terutamanya berkaitan dengan wajib lulusan Bahasa Inggeris di peringkat SPM. Sebagai rakyat saya wajar berterima kasih kepada pucuk pimpinan negara kerana diberi ruang untuk mengutarakan pendapat berkaitan dasar-dasar penting negara, terutama yang melibatkan kepentingan rakyat secara menyeluluh.

Namun begitu, saya juga berpendapat kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat - samada peringkat Negara, Negeri, Bahagian, Daerah mahupun di peringkat kampung, sikap keterbukaan seumpama ini harus juga dipraktikkan dengan meminta rakyat bawahan menyatakan pendapat mereka sejauhmana kebaikan dan keburukan sesuatu dasar yang cuba dilaksanakan oleh para pemimpin tersebut. Dengan berbuat demikian, maka semua pihak, terutamanya rakyat akan dapat berkongsi pendapat, rasa dan kegembiraan mereka apabila pendapat mereka ini diambil kira [walaupun tidak kepada semua perkara atau hal negara].
Bagi rakyat, sebenarnya apa yang mereka inginkan ialah kesejehteraan hidup, keamanan, ketenteraman serta keselesaan hidup.
Namun bagaimanakah keselesaan ini boleh wujud atau diperolehi? Jawapannya mudah [namun sukar dilaksanakan] iaitu dengan meningkatkan pendapatan hidup rakyat, dengan memberikan mereka peluang pendidikan [akedamik, kemahiran, keusahawanan dan peluang-peluang pekerjaan] secara berterusan bukan sahaja di peringkat bandar tetapi juga di desa. Sama diperingkat kerajaan mahupun swasta di samping mengujudkan usahawan-usahan kecil kampung secara bersepadu.
Selain soal ekonomi, juga rakyat berkehendakkan agar kehidupan mereka ketenteraman dan keamanan. Disamping itu, rakyat juga mahukan kemudahan dan keselesaan hidup dan dapat mengikut perkembangan dunia dan bukan sebaliknya.

Soalnya, adakah semua pasarana dan orgnisasi untuk melaksanakan impian rakyat ini telah ujud? Jawapannya- ya. Sudah ujud. Samada di sektor awam atau di sektor swasta, samada di sektor kerajaan mahupun parti [khususnya parti pemerintah] semua yang telah di sebut di atas telahpun tersedia. Cuma masalahnya ialah sikap orang pemimpin dan orang yang menggerak atau orang yang diberikan tanggung jawab untuk melaksanakannya.

Di sektor kerajaan, telah ada jentera pengerak. Pegawai-pegawai, penyelia, pengurus, pengarah dan sebagainya, telahpun dilantik. Malahan telahpun ada pegawai-pegawai di beberapa sektor dan organisasi ini yang berkhidmat bertahun-tahun lamanya. Mereka terdiri dari kalangan orang yang pakar dan berwibawa. Mereka ada memahiran, mereka ada kepakaran, mereka ada bakat [talent], mereka ada pengalaman, mereka ada kebolehan dan keupayaan.

Tetapi mengapa sebahagian organisasi dan jentera ini sukarkan digerakkan bagi melaksanakan kehendak dan impin rakyat? Jawapannya- ialah mereka kekurangan semangat dan motivasi untuk berkerja. Mereka kadang tidak dapat melihat pandangan cahaya di hujung sana, akibat beberapa halangan dan gangguan yang ujud yang dibuat oleh kalangan sesetengah pemimpin. Para pegawai dan pengerak ini kadangkala mereka terasa semacam tidak dipercayai atau dicurigai. Inilah sebahagian perkara yang membantutkan atau menjadi gendala terhadap usaha murni kerajaan ini.

Apakah perkara yang perlu dibuat? Pada saya ialah keyakinan dan kepercayaan. Berikan mereka [para pegawai dan pengerak organisasi ini] ruang dan peluang untuk mereka melaksanakan atau merealisasikan apa yang telah dirancang untuk kepentingan rakyat. Gunakan pengalaman dan bakat mereka. Tapi janganlah paksa mereka. Gunakanlah kepakaran mereka, tapi jangan perkuda mereka. Mintalah pendapat atau bantuan daripada mereka. Tapi jangan peralatkan mereka. Yakinilah keikhlasan mereka berkerja, janganlah ragui kejujuran mereka.

Para pemimpin boleh sahaja mengutara pendapat dan kehendak mereka. Tapi jangan memaksa pendapat mereka untuk diterima oleh para rakyat atau orang lain. Sikap pemimpin yang suka memaksa untuk rakyat menerima pendapat mereka, menyebabkan rakyat jadi bosan dan malas untuk berkerja atau melaksanakan apa yang sepatutnya dilaksanakan. Lebih daripada itu, rakyat kadangkala memberontak jika mereka dipaksa dan didesak.

Rakyat tidak memerlukan idea yang tinggi-tinggi, memadai apa yang rakyat fahami. Rakyat tidak memerlukan bangunan yang-tinggi-tinggi, memadai pendapatan keluarga dan pendidikan anak-anak mereka yang tinggi. Rakyat tidak memerlu teori-teori yang tinggi dan canggih, memadai mendapat informasi dan memahami asas ilmu ICT. Rakyat tidak memerlu jambatan dan jalan yang panjang-panjang. Memadai keamanan dan kesejehteraan yang berpanjangan.

Oleh itu para pemimpin kita boleh sahaja berangan-angan atau bercita-cita tinggi, tapi jangan tidak mengenang budi. Pemimpin boleh sahaja untuk berjawatan besar, tapi jangan sehingga memaksa orang lain [rakyat] untuk menerima apa yang mereka mahu, semata-mata untuk mencapai agenda peribadi mereka.

Para pemimpin boleh saja bercita-cita untuk jadi jutawan, tapi buangkan sikap kerakusan. Mereka boleh bercita-cita untuk jadi apa sahaja, tapi jangan jadikan rakyat atau orang lain sekadar batu loncatan. Mereka boleh rebut peluang apa sahaja [apa lagi ini negera bebas dan demokrasi] tapi jangan sampai rakyat ketinggalan dan diketepikan.

Untuk jadi pemimpin besar, tidak perlu orang memaksa rakyat menerima apa yang pemimpin mahukan, tapi memadai berikanlah apa yang rakyat mahukan. Jadilah pemimpin yang disanjungi rakyat, bukan yang dibenci rakyat. Gunakan ilmu dan bakat kepemimpinan untuk memimpin, tapi jangan gunakan bakat dan kebolehan memimpin untuk membunuh harapan rakyat yang dipimpin.

Jadilah pemimpin demi kepentingan ’Bangsa, Agama dan Negara’ BUKAN kepentingan rakan dan taulan atau politik bagi memperkukuhkan rangkaian anda. Jadilah pemimpin niat kerana Allah atau Tuhan yang Maha Esa, bukan kerana rakan setia. Jadilah pemimpin yang disegani, bukan sekadar yang dituruti.

Wallahuallam!

No comments:

Post a Comment