Sunday 14 June 2009

Khidmat Kaunseling Kerjaya - Wajar Menyelusuri Bandar Dan Desa

Seperti yang saya paparkan minggu yang lalu, bahawa UMNO Bahagian P171 Sepangar, melalui Biro Pendidikan dan Latihannya adakan mengadakan program ’Khidmat Kaunseling Dan Kerjaya’ tahun 2009. Kini program tersebut telah berjaya dilaksanakan dan berlansung selama dua jam setengah [bermula 9.00 pagi hingga 11.30 pagi ini]. Program tersebut telah dikunjungi oleh hampir 100 orang yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan akedamik dan kerjaya. Hasilnya kami telah berjaya mendaftar seramai 52 orang peserta dalam pelbagai kategori. Antaranya adalah seperti berikut:

1. 20 orang- bagi program motivasi / seminar keibubapaan
2. 19 orang - program motivasi / teknik pembelajaran PMR/SPM
3. 13 orang - untuk program kemahiran dan latihan

Khidmat Kaunseling Dan Kerjaya yang bersifat bimbingan kaunseling bersemuka dan berkonsepkan perbincangan dua hala [berbincang dari hati ke hati - di antara fasilitator dan guru kaunseling dengan para pelajar serta belia lepasan sekolah ini] telah dikendalikan oleh 2 orang guru kauseling, 3 fasilitator, 3 graduan lepasan ijazah/ Diploma serta beberapa AJK. Biro Pendidikan.

Melalui Khidmat Kaunter-Kaunseling dan Kerjaya ini, para petugas yang mengendalikan program ini telah berjaya membongkar rashia tentang apakah bentuk-bentuk permasalahan pembelajaran anak-anak di peringkat akar umbi ini, terutama golongan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR/SPM bagi tahun 2009 ini. Di samping itu, program ini telah dapat mendaftar seramai 13 orang peserta yang memerlukan latihan kemahiran seperti kemahiran ICT, menjahit dan juga kursus kecantikan.

Di segi akedamik, para petugas pula telah berjaya membongkar masalah besar pelajar, yang hampir sebilangan besar mereka tidak tahu teknik pembelajaran serta tidak menyusun jadual waktu pembelajaran yang sempurna ketika mereka berada di rumah. Sementara para belia lepasan sekolah ini, tidak tahu tentang maklumat di mana seharusnya mereka mendaftar sebagai peserta kursus.

Secara sepintas lalu, kami dapat memahami bahawa kebanyakan para pelajar dan belia lepasan sekolah ini tidak mendapat pendedahan maklumat atau mempunyai informasi yang tepat berhubung peluang-peluang yan disediakan oleh kerajaan, akibat kurangnya kemahiran melayari internet atau laman web. Pendek kata mereka kurang pengetahuan berkaitan ICT. Meskipn mereka berada dalam bandar. Persoalannya-salah siapa? pelajar, ibubapa/ guru atau pemimpin? Inilah yang kita perlu selidiki dan gali, agar dalam keghairahan kita mengejar kemajuan dunia ICT, ramai rakyat kita pula yang tersisih akibat kekurangan maklumat.

Seperti yang kami nyatakan dalam paparan lalu, khidmat kaunseling bersemuka di kalangan para pelajar terutamanya golongan belia PMR dan SPM seumpama ini, akan membolehkan mendapat panduan bagaimanakah seharusnya menjadi seorang pelajar yang baik dan bermotivasi di samping dapat merancang bentuk kerjaya masa depan mereka.

Tapi mungkin ada yang bertanya, siapakah di kalangan kami dalam kumpulan ini?. Secara jujur kami menyatakan di sini bahawa kami bukanlah guru. Kami sama sekali tidak ada niat untuk memperkecilkan peranan guru atau mengambil tugas guru. Cuma ingin membantu pelajar-pelajar ketika mereka di luar sekolah.

Namun kami tegaskan di sini kami mempunyai pengalaman bertahun-tahun mengenai perkara ini atas nama guru-guru atau fasilitator sukarelawan sambilan. Ada di kalangan kami pernah membuat kelas tuysen percuma di rumah atau juga meminjam bilik darjah sekolah-sekolah kerajaan untuk tujuan ini. Ini bukanlah cerita kosong atau sekadar publisiti murahan.

Sekadar ingin berkongsi maklumat dan memori kenangan indah masa lampau, sebenarnya ada sebilangan daripada petugas sukarelawan ini telah memulakan tugas menjadi sukarelawan ini sejak tahun 1984 di Kota Kinabalu. Ketika itu kumpulan seumpama ini pernah digerakkan oleh seramai 12 orang guru sambilan / fasilitator pelbagai bidang kemahiran dan pengalaman.

Sebagai mengenang jasa mereka, izinkan saya untuk menyatakan di sini rasa penghargaan yang tidak terhingga terhadap jasa dan khidmat sukarelawan-sukarelewan seumpama ini, yang suatu ketika dulu pernah bertugas secara sukarela menjadi guru-guru kaunseling atau fasilitator. Antaranya ialah Allahyarham Dr.Datu Bandira Dt. Hj. Omar [ketika itu guru SMK. Tampaluri] Tuan Hj. Mentoh Aru [Usahawan/kontraktor], Cikgu Kalilah Ibrahim, Cikgu Ag.ku Ahmad [Pen. Kanan Guru Besar SK. Likas], Sdr. Ladim Hj. Abdul Rahman, Sdr. Razak Rakuman [kontraktor/usahawan], Sdr. Jikran Hj.Mahmut [seorang akauntan/peg.Bank] Cikgu Saudi Anjam [kini menjadi jurutera] Cik Inah Dahlan [Peg. Kerajaan], En. Jafar Hj. Mantamin serta En. Jumat Idris [Guru BI] dan kini menjadi salah seorang pemimpin Sabah yang memeang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian P171 Sepanggar.
Ketika kami memulakan Khidmat dan Kaunseling seumpama ini [1984] kami hanya berjaya ketika itu mendaftar seramai 8 orang [3 pelajar SRP/PMR, 3 pelajar SPM dan 2 Pelajar STP]. Namun melalui gerakan guru-guru sukarelawan seumpama ini, dalam tempuh 3 bulan kami mampu mengumpul seramai 286 pelajar sambilan yang terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan sekolah, terutama belia-belia lepasan SRP/SPM untuk dimasukkan dan didaftar semula sebagai pelajar persendirian.

Sebagai langkah berterusan, kumpulan tersebut telah berjaya mengumpul data secara berterusan pelajar. Dan melalui data yang ada inilah kami mengenal perihal permasalahan pelajar. Lantaran daripada dapatan [in-put] inilah kami memberikan tumpuhan serta perhatian dalam usaha kami membimbing pelajar-pelajar tersebut.

Alhamdullilah, selepas setahun kumpulan kami telah dapat menubuh 6 buah kelas [2 kelas SRP/PMR, 3 kelas SPM dan 1 kelas SPM. Lalu kami namakan kumpulan pelajar atau kelas kami ini sebagai Maktab Akedamik PEMBELA.[ malang maktab yang kami rancang ini tidak dapat didaftarkan ketika itu, kerana syarat ketat pihak birokrasi] di samping kebanyakan guru-guru ketika itu menyambungkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda dan Master [MA].

Seingatan saya, melalui peperiksaan yang mereka duduki [secara in-block] pada tahun 1984/85, pelajar-pelajar kami telah berjaya menjadi antara kumpulan pelajar terbaik di Sabah ketika itu dengan mencapai kelulusan 67.23% iaitu suatu keputusan yang agak memberansangkan berbanding keputusan sekolah-sekolah biasa ketika itu yang cuma mencapai peratusan purata sekitar 50-60% sahaja setiap tahun. Itulah perakuan dan maklumat yang disampaikan oleh mantan Penolong Pengarah Bhg.Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Sabah ketika itu.
Apakah kunci kejayaan tersebut. Jawapannya adalah melalui program ’Kaunseling Dan Kerjaya’ yang berterusan seumpama ini.

Bagaimana dan ke manakah pula para pelajar kami selepas itu? Saya hanya mampu tersenyum puas apabila mereka memanggil sebahagian kami sebagai ’guru’ ketika saya terserempak beberapa orang bekas pelajar kami ini di pelbagai agensi kerajaan–samada sebagai guru, pensyarah, pegawai kanan kerajaan, Jurutera, Peguam dan malahan ada beberapa orang mereka kini menjadi Ketua Jabatan di beberapa agensi swasta kini.

Lalu pengalaman dan kepuasan berbakti seumpama inilah yang kami [sebahagian yang ada dan masih ingin menyumbang bakti ini] ingin kami kongsi dan terjemahankan melalui ’Khidmat-kaunseling dan Kerjaya’ ini, untuk membantu para pelajar ini [khususnya anak-anak golongan miskin ini] agar mereka dapat dibantu dan ditangani secara bersepadu. Mudah-mudahan usaha murni kami secara sukarela mendapat sokongan semua pihak yang berkaitan.

Oleh itu selaras dengan saranan sdr. Depu-Depu dari Semporna yang mencadangkan agar program seumpama ini diperluaskan ke kampung-kampung dan desa, maka saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyarakan agar semua Biro Pendidikan dan Latiann UMNO serta Parti-Parti kompenan Barisan Nasional yang ada mengambil langkah serupa agar kita dapat mendekati masyarakat akar umbi dan memahami masalah yang mereka hadapi serta dapat mengambil langkah untuk membantu mereka mengikut saluran betul.
Jika tahun 80,an kemudahan fasarana pendidikan kita begitu daif dan tiada kemudahan ICT, tetapi mampu melaksanakan program seumpama ini-mengapa tidak sekarang? Kata pepatah ” Tepuk dada tanya selera. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Yakinlah dan percayalah, jika niat kita betul dan murni, Insya Allah! Usaha kita itu akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah s.w.t

2 comments: